PERGI TAKKAN KEMBALI

Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedangkan di hadapan mereka ada alam barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada hari kiamat). Menurut Ibn Athiyyah dalam tafsirnya al-Muharrar al-Wajiz, ayat ini merupakan gambaran kematian orang kafir. Arahan irji’un merupakan permintaan agar dikembalikan ke dunia. Bentuk arahan yang digunakan adalah dalam bentuk mukhatab al-jamak kerana merujuk kepada Allah s.w.t. yang kerap ditonjolkan sebagai pihak yang berkuasa bukannya berbilang-bilang. Ataupun dalam penjelasan yang lain, rayuan ini ditujukan kepada malaikat maut yang menjalankan tugas mereka secara berkumpulan.
Dalam satu riwayat, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang Mukmin melihat malaikat maut selepas matinya, para malaikat bertanya kepadanya: ‘Apakah engkau ingin dikembalikan ke dunia semula?’ Lantas beliau berkata: ‘Adakah ke tempat kedukaan dan kesedihan itu? Tidak! Saya hendak bertemu dengan Allah.” Sebaliknya roh orang kafir bila dikemukakan soalan itu, dia akan berkata: Tolonglah kembalikan aku ke dunia!”
Menurut al-Qurtubiyy dalam al-Jami’ li Ahkam al-Quran, ayat ini diperjelaskan oleh ayat ke 50 surah al-Anfal: “Dan (amatlah ngerinya) jika engkau melihat (wahai orang yang memandang), ketika malaikat mengambil nyawa orang-orang kafir dengan memukul muka dan belakang mereka (sambil berkata): “Rasalah kamu azab seksa neraka yang membakar.”
Lazimnya penyesalan akan menimpa seseorang yang gagal memanfaatkan peluang, padahal pada waktu itu dia berupaya dan mampu melakukannya. Pada ketika itu barulah dia sedar akan kelalaiannya. Dia memohon kepada Allah, “Kembalikan aku ke dunia agar aku beramal soleh pada apa yang telah kutinggalkan, pada waktu yang sudah berlalu,” atau lebih tepat lagi, “semasa aku mengecap nikmat kekayaan dan kini aku telah meninggalkannya kerana mati. Jika Engkau mengizinkan aku akan memanfaatkan segala anugerah-Mu itu dengan ketekunan menjalankan tanggungjawabku.”
Perkataan kalla dalam bahasa Arab merujuk kepada kata herdik yang bermaksud penafian secara mutlak. Merujuk kepada pandangan Ibn Athiyyah, Allah ataupun kumpulan malaikat itu, mengherdik golongan kafir itu bahawa permintaan itu mustahil diterima oleh-Nya. Sekali-kali tidak! Permintaan ini tidak mungkin dipenuhi. Sesungguhnya itu merujuk kepada ucapannya yakni perkataan yang diucapkan, tanpa mendatangkan sedikit pun manfaat untuk mengembalikannya kepada kehidupan dunia.
Wa min warai him dalam bahasa Arab bukanlah bermakna di belakang semata-mata. Malah ia merujuk kepada “di sekeliling”, yakni seolah-olah malaikat azab berada di hadapan mereka dan di bahagian belakang adalah barzakh.
Demikian adalah penjelasan dalam Tafsir al-Qurtubiy dan kesimpulan daripada pandangan pakar-pakar tafsir yang dikemukakan oleh Ibn Kathir dalam tafsirnya.
Barzakh dalam Kamus al-Farid merujuk kepada hajiz, di mana dalam bahasa Arab digunakan untuk sesuatu dinding yang sifatnya boleh dilihat. Dalam ayat ini dinding ini adalah isti’arah, merujuk kepada sifatnya yang berfungsi sebagai penghalang yang memisahkan manusia yang telah mati daripada kembali semula ke dunia, sehinggalah tiba kebangkitan pada hari akhirat.
Menurut Abu Sakhar, barzakh yang dimaksudkan merupakan kubur yang dikebumikan seseorang itu.
Perlu diingat bahawa yang dimaksudkan dengan kubur adalah konteks seksa dan nikmat, bukannya tempat di mana jasad seseorang itu disemadikan. Ini yang dimaksudkan dengan barzakh. Alam tersebut berada di luar jangkauan kita. Akal tidak dapat dijadikan ukuran untuk menolak atau membenarkannya. Kita wajib meyakini dengan sebenar-benarnya, yang termasuk dalam perkara ghaib yang disampaikan menerusi al-Quran dan hadis.
Hakikat ini dihuraikan oleh al-Suyuti dalam tafsirnya al-Durr al-Manthur. Beliau berkata, maksud zahir ayat menunjukkan hamba Allah yang telah mati itu akan berada dalam kuburnya hingga dia dibangkitkan untuk menerima balasan. Terdapat hadis riwayat al-Tirmizi yang memperkukuhkan hujah ini yang bermaksud: “Dia akan terus diazab dalam kuburnya…”
Demikianlah bagi setiap individu yang memahami alam barzakh ini seperti Ahli Sunnah wa al-Jamaah, mereka tidak akan menghadapi masalah memahami konteks nikmat dan azab seperti yang dimuatkan dalam banyak ayat-ayat Allah.
Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya, orang-orang kafir ini menyangka permintaan mereka itu akan dimakbulkan oleh Allah. Maha Suci Allah daripada melakukan perkara yang sia-sia. Dia telah mengetahui sejak azali kegagalan manusia mentaati-Nya, menerusi gambaran ayat ke 37 surah Fatir:
“Dan mereka menjerit-jerit di dalam neraka itu (sambil merayu): ‘Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari azab ini); kami akan mengerjakan amal soleh, lain dari apa yang kami pernah kerjakan.’ (lalu Allah menempelak mereka): ‘Bukankah Kami telah melanjutkan umur kamu dan memberikan masa yang cukup untuk berfikir dan beringat padanya oleh sesiapa yang suka berfikir dan beringat?
Dan kamu pula telah didatangi oleh Rasul (Kami) yang memberi amaran oleh itu, rasalah (azab seksa), kerana orang-orang yang zalim tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan.”
Logiknya manusia yang telah dikurniakan umur yang panjang gagal mentaati Allah, Apakah apabila dikembalikan semula ke dunia sebentar, dia mampu melakukan ketaatan yang dijanjikan itu?
Membaca ayat ini tidaklah semudah mentadabburnya. Bagi Mukmin, ayat-ayat seperti ini menjadikannya lebih berhati-hati, dan memahami kaitan ayat ini dengan ayat dari surah Ali Imran. Walaupun mesej ayat ini ditujukan kepada orang yang ingkar dan kafir, tetapi Allah turut memberikan amaran pada Mukmin yang leka.
Firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 130: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu makan atau mengambil riba dengan berlipat-lipat ganda, dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya. Dan peliharalah diri kamu dari api neraka, yang disediakan bagi orang-orang kafir.”
Benar kata-kata Ali r.a., cukuplah kematian sebagai pembawa pengajaran. Semoga Allah merahmati Qatadah r.a., mufassir generasi tabi’in yang terbilang. Beliau mentafsirkan ayat ini dengan menyimpulkan: “Semoga Allah s.w.t. merahmati seseorang yang membaca ayat ini lantas bersegera melakukan ketaatan bagi menyelamatkan dari penyesalan seperti penyesalan ahli neraka!”

Oleh Ustaz Zahazan Mohammad

Advertisements

Leave a Reply

Please log in using one of these methods to post your comment:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s